Saturday 4 February 2017

Pengaruh Kesultanan Brunei Kepada Masyarakat Sabah (Siri II) - Bilcher Bala & Baszley Bee Basrah Bee dan Jakaria Dasan

Pengaruh Kesultanan Brunei Kepada Masyarakat Sabah (Siri II)
Oleh Bilcher Bala & Baszley Bee Basrah Bee dan Jakaria Dasan
Universiti Malaysia Sabah (UMS)

Sejarah amat penting dalam kehidupan masyarakat di mana jua di dunia. Sejarah selalunya menyediakan sumber rujukan terbaik untuk kebaikan masyarakat pada sepanjang masa. Sejarah menjadi asas kepada percaturan pemerintah, pentadbir, umumnya apabila ingin melakukan sesuatu tindakan. Sejarah Kesultanan Brunei yang asalnya sebuah empayar yang memerintah Sabah, Sarawak dan sebahagian besar wilayah Kalimantan merupakan satu fakta sejarah yang amat relevan dan wajar kita soroti. Universiti Malaysia Sabah melihat usaha ke arah pengkajian semula ini sebagai satu komitmen penting yang bakal diwarisi dengan jelas oleh generasi di masa akan datang.

Sejarah Sebuah Empayar Maritim kepada Sebuah Negara

Brunei telah diletakkan di dalam carta maritim dunia melalui pelayaran penerokaan mengililingi dunia oleh Magellan pada tahun 1521 M. Sejak itu Brunei mula menjadi perhatian kepada kuasa-kuasa maritim Eropah. Empayar Brunei hanya dapat bertahan sehingga suku akhir abad Keenambelas ekoran perluasan dan ancaman pengaruh orang Eropah di rantau ini. Perluasan kuasa Sepanyol di Filipina telah menjadi titik mula keruntuhan empayar Brunei.

Pada mulanya Brunei telah kehilangan Manila kepada Sepanyol pada 19 Jun 1571 M. setelah kekalahan Raja Sulaiman yang dilantik oleh Sultan sebagai pembesar (pengiran) atau pemerintah di Manila. Ekoran kekecewaan terhadap tindakan Sultan Brunei menolak permohonan kuasa Sepanyol untuk berdagang di bandar pelabuhan Brunei, maka Kapten Jeneral Sepanyol yang bernama Dr. Francisco De Sande telah mengetuai sebuah kapal perang utama yang dinamakan Santiago dan menyerang Brunei pada 16 April 1578 M. Walau bagaimanapun, hasrat kuasa Sepanyol untuk menjajah Brunei terpaksa dibatalkan kerana timbul masalah penyakit disentri atau taun di kalangan tentera-tenteranya dan mereka meninggalkan Brunei. Kemudiannya, kuasa Sepanyol mengalihkan focus kempennya ke atas Kepulauan Sulu, yang mana dipercayai menjadi asal usul Perang Moro yang tiada kesudahan sehingga hari ini.

Walaupun kerajaan Kesultanan Brunei adalah terbukti sebagai sebuah negara-kuasa saingan kepada kuasa-kuasa Eropah di rantau ini, tetapi masalah sengketa politik dalaman tidak dapat dielakkan sehingga menyebabkan Brunei tewas kepada kuasa Sepanyol pada ketika itu. Pada dekad-dekad berikutnya kelemahan kuasa Brunei ke atas jajahan jajahan yang masih kekal adalah nyata sekali. Selepas kemangkatan Sultan Mohammad Hassan (1582-1598 M.), hampir semua jajahan di Filipina telah bebas daripada kuasa Brunei. Perang Saudara antara Pengiran Abdul Hakkul Mubin (Sultan, 1661-1673 M.) dan Pengiran Muhyiddin (Sultan, 1673-1690 M.) telah menyebabkan bahagian utara Borneo (kini Sabah) telah jatuh kepada kerajaan Kesultanan Sulu.

Pada abad Kelapanbelas, kuasa Belanda dan kuasa British telah masuh ke rantau ini dan beransur-ansur menjajah jajahan-jajahan tradisional kerajaan Kesultanan Brunei. Proses ini bermula hampir serentak dari arah selatan dan utara Borneo, di mana British memperolehi hampir semua hak-hak kedaulatan ke atas wilayah-wilayah atau daerah-daerah yang telah lebih kurang terpencil dari ibu kota (Brunei) atau yang mana kurang kawalan daripada Brunei. Terdapat tiga jenis jajahan yang berkaitan, iaitu kerajaan (hak kuasa Sultan yang sedang memerintah), kuripan (hak kuasa pembesar pembesar utama yang memerintah) dan tulin (hak milik individu-persendirian).

Sementara kuasa Belanda menumpu perhatian di bahagian selatan Borneo, pihak kuasa British buat pertama kali telah menduduki Pulau Balambangan di pantai utara Borneo pada tahun 1773 M. Sejak pertengahan abad Kesembilanbelas, kuasa British mula secara berperingkat menguasai lebih banyak daerah ke arah ibukota kerajaan Brunei.

Ini telah mengwujudkan dua pembahagian yang mana menjadi Borneo Utara (Sabah) di bawah pemerintahan Syarikat Berpiagam Borneo Utara British (SBBUB) dan Sarawak di bawah pemerintahan Rejim Brooke. Dan akhirnya pada tahun 1906 M., sempadan kerajaan Kesultanan Brunei telah adalah dirundingkan secara berhati-hati dan ditetapkan. Dari pengkisahan ini, apa yang ingin diditonjolan ialah mengenai asal kewujudan sebuah empayar (Brunei) yang telah berubah menjadi sebuah Negara kecil sahaja.

Sejarah Brunei Sebagai Pusat Penyebaran Islam di Borneo

Sultan yang pertama, Mohammad Shah @ Awang Alak Betatar telah berkahwin dengan seorang puteri Islam, yang mana ditegaskan menurut sumber tradisi Brunei sebagai puteri kepada Sultan Bahkei, pemerintah kerajaan Kesultanan Johor.

Semasa pemerintahan Sultan yang ketiga, Sharif Ali (1425-1432 M.), Brunei mula memainkan peranan utama dalam penyebaran agama Islam ke seluruh rantau ini. Baginda berasal dari Arab dan daripada jurai keturunan daripada Nabi Muhammad S.A.W. Tambahan, baginda dikenangkan sebagai Sultan Berkat, kerana membina masjid yang pertama dan membina struktur Kota Batu. Dengan kata lain, penegasan ajaran Islam dengan berkesan telah berlaku semasa pemerintah baginda.

Walau bagaimanapun, semasa pemerintahan Sultan Bolkiah, seorang pengembara dan pahlawan yang perkasa, dikenali sebagai Nakhoda Ragam, agama Islam telah tersebar dari Brunei ke seluruh Pulau Borneo, Kepulauan Sulu dan Filipina. Di samping itu, Sultan Bolkiah menggalakkan rakyatnya bermigrasi keluar mencari kawasan yang subur untuk dijadikan petempatan baru. Semestinya, Pengiran-Pengiran and datu-datu yang dilantik oleh Sultan untuk mentadbir jajahan- jajahan telah memainkan peranan penting dalam menyebarkan ajaran Islam di seluruh empayar Brunei.

Biasanya, para pembesar Brunei yang dilantik akan membawa ramai rakyat sebagai rombongan pengiring ke jajahan-jajahan yang telah diamanahkan. Misalnya, apabila Raja Tengah dihantar ke Sambas pada abad Keenambelas, beliau diiringi oleh 1,000 orang rakyat jelata (Melayu Brunei). Situasi yang sama juga berlaku ketika Raja Tua dihantar ke Menggatal, Sabah dan Pengiran Indera Mahkota ke Sarawak pada abad Kesembilanbelas.

Sejarah Awal Pengaruh Kebudayaan Melayu Brunei

Pada awal abad Kelimabelas, di setiap jajahan-jajahan yang membentuk negeri negeri Sarawak dan Sabah pada hari ini, kerajaan Kesultanan Brunei telah melantik kaum kerabat bangsawan Melayu Brunei menjadi pembesar (wakil Sultan), khususnya berpengkalan di muara sungai-sungai utama seperti Sarawak, Mukah, Baram, Limbang, Lawas, Padas, Membakut, Kimanis, Papar, Pengalat, Putatan, Inanam, Menggatal, Tuaran dan Mengkabong. Terdapat juga kes ketua ketua pribumi dan Datu-Datu Suluk dilantik menjadi wakil Sultan di sesebuah jajahan. Dengan penubuhan institusi kuasa kerajaan Kesultanan Brunei di banyak tempat di sepanjang kawasa pantai Sarawak dan Sabah, sudah tentu proses migrasi rakyat jelata telah mula berlaku. Oleh itu, kaum Melayu Brunei terdapat dalam daerah-daerah di sepanjang kawasan pantai negeri Sarawak dan negeri Sabah. Walau bagaimanapun, kebanyakan populasi mereka terdapat di kawasan pantai barat, terutamanya dalam Daerah Papar di negeri Sabah; dalam Daerah Limbang di Sarawak, danl dalam wilayah Persekutuan Labuan.

Secara tradisinya, Melayu Brunei adalah kaum nelayan, pelayar dan pedagang. Hari ini, mereka menangkap ikan menggunakan boat dan kaedah moden dan ramai yang berkhidmat dalam sector awam dan industri. Kebiasaan mereka adalah hidup komuniti kampung air, iaitu satu tradisi gaya hidup dalam rumah-rumah di atas air laut. Satu bukti yang kukuh mengenai pengaruh budaya kaum Melayu Brunei adalah ditemui dalam peralatan seni tradisional, khusunya Kulintangan dan Gambus di negeri Sabah. Semenjak bermulanya pentadbiran British pada tahun 1881, lebih ramai orang Melayu Brunei bermigrasi ke Sabah. Mereka meneruskan aktiviti berdagang dan beransur ansur menetap di tempat-tempat lain sepanjang pantai Sabah dan Sarawak.

Komuniti masyarakat Bajau di Kampung Mengkabung umpamanya, mempelajari kecenderungan masyarakat ini membina rumah-rumah di atas air dimana perkampungan mereka ini dikenali sebagai perkampungan air. Di samping itu berlaku proses perkahwinan campur di antara kaum Melayu Brunei dengan kaum-kaum Dusun, Bisaya dan Bajau sejak itu. Selain meneruskan gaya hidup perkampungan air, kaum Melayu Brunei juga menetap di daratan seperti di kampung-kampung Rancha-Rancha, Lubuk Temiang, Gersik dan Tanjung Aru di Labuan.

Potensi Pengajian Brunei di UMS

Menyedari akan wujudnya suatu warisan sejarah yang amat rapat di antara Negara Brunei Darussalam dan Negeri Sabah, maka Universiti Malaysia Sabah telah mengambil inisiatif melaksanakan suatu kajian yang lebih menyeluruh mengenai sejarah Brunei sehingga kini. Pada masa ini, UMS telah menerbitkan sebuah buku bertajuk Thalassocracy: a History of the Medieval Sultanate of Brunei Darussalam (2005) yang ditulis oleh En. Bilcher Bala, pensyarah Sekolah Sains Sosial UMS. Buku ini merupakan sebuah karya yang lebih komprehensif pernah diterbitkan di Malaysia mengenai sejarah Kesultanan Brunei. Pada masa ini, satu kumpulan pensyarah daripada Program Sejarah, Porgram Komunikasi dan Sekolah Pengajian Seni sedang menjalankan kajian mengenai warisan Melayu Brunei di Sabah dengan bantuan geran daripada Kementerian Kesenian, Kebudayaan danWarisan (KeKKWa).


Ini juga membuktikan UMS adalah komited dengan cita-cita menjadi pembekal utama bahan rujukan mengenai warisan Kesultanan Brunei di Malaysia. Dari tahun ke tahun, terdapat pertambahan pelajar di peringkat pengajian pra -siswazah yang berminat untuk menulis kajian tesis mengenai warisan Brunei di negeri Sabah. Usaha -usaha kajian ini telah dilakukan, sama ada secara langsung atau tidak, adalah untuk merekonstruksi satu bentuk hubungan yang ‘lama’ di kalangan ASEAN khususnya antara sebuah negeri di Malaysia iaitu Sabah dengan sebuah Negara  iaitu Negara Brunei Darussalam.  

Bagi merintis sebuah manifestasi pengkajian yang lebih tepat dan bermaklumat, maka pada 22 Januari 2008, sebuah memorandum persefahaman antara UMS dan Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah dimeterai yang akan memberi impak maksima kepada hikayat sebuah Negara yang dahulunya merupakan sebuah empayar maritime yang begitu berkuasa di Kepulauan Borneo. Selain itu hubungan kerjasama dengan Universiti Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan Institut Pengajian Islam Sultan Haji Omar Ali Saifuddien (SHOAS IIS) serta Jabatan Muzium-Muzium Brunei serta Pusat Sejarah Brunei turut dijalin melalui lawatan UMS ke Negara Brunei Darussalam dari 20 hingga 22 Januari yang lalu.

No comments:

Post a Comment